Semalam dua berita yg menyayat hati dan kedua-dua kes adalah sangat kejam. Apa dah jadi manusia la ni? dah xdak pertimbangan akal fikiran. lebih hina daripada binatang. Bulan puasa, Ramadhan yg mulia kita disajikan berita sebegini. Syaitan diikat. Tetapi kalau manusia tu jahat, jahat juga la. Al-Fatihah kepada semua mangsa.


Berita 1:
Tanda tanya bau busuk yang dihidu penduduk Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, di sini, sejak Sabtu lalu terjawab selepas penemuan beberapa anggota badan manusia yang dikerat lebih 15 bahagian, petang semalam.
 Penemuan mayat seorang lelaki oleh penduduk yang memeriksa sebuah kediaman di blok berkenaan yang tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu itu selepas tidak tahan dengan bau busuk.
Seorang penduduk Shahril Abdul Rahman, 30, yang tinggal selang satu rumah dari kediaman itu mendakwa kira-kira jam 2 petang semalam mereka menemui sebelah kaki kiri yang disangkakan kaki patung. Bagaimanapun, katanya selepas berulang kali diamati kaki berkenaan, mereka dapati kaki terbabit ialah kaki kiri manusia dan penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis.
“Pada jam 5.45 petang sepasukan polis dengan dibantu Unit Patalogis Hospital Ampang menemui lagi organ manusia seperti usus dan perut dalam mangkuk tandas di tempat sama kaki ditemui,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil pemeriksaan lanjut pihak polis menemui bahagian lain tubuh manusia yang sudah dipotong di atas siling bilik air sama.
“Bahagian lain tubuh mangsa itu dipercayai dipotong dengan objek tajam sebelum dibungkus dengan plastik,” katanya di tempat kejadian, malam tadi. Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti identiti mangsa yang dipercayai dibunuh kurang dari seminggu.
“Polis percaya suspek tinggal di sekitar pangsapuri berkenaan dengan menjadikan unit kediaman itu sebagai tempat melepaskan ketagihan minuman keras.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis Selangor di talian 03-20529999 bagi membantu siasatan.

Berita 2:

Mayat di kerat 15 Taman Kosas milik wanita, kanak-kanak lelaki


Mayat yang ditemui di tingkat lima, Blok Chryssa, Apartment Astaria di Taman Kosas, Ampang semalam disahkan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata mayat pertama yang dijumpai dalam keadaan dikerat-kerat masih belum diketahui identiti dan bangsanya.
"Hasil bedah siasat mengesahkan badan yang dikerat milik seorang wanita dan cap jari mangsa telah diambil untuk semakan lanjut.

"Manakala mayat kanak-kanak lelaki ditemui dalam plastik dan lengkap tubuh badan, dipercayai berusia lima hingga enam tahun," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Beliau berkata, polis masih menyiasat, merakam keterangan saksi dan sedang memeriksa rekod orang hilang.

Semalam, badan manusia yang dikerat kepada beberapa bahagian selain organ dijumpai dalam dua beg plastik selain usus dan perut manusia dalam mangkuk tandas di unit itu.

Berita 3:
Kepala wanita dalam sarung bantal
Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my 
2011/08/05

POLIS menyita rumah selepas penemuan kepala wanita pula dalam sarung bantal di Pangsapuri Astaria Taman Kosas, Ampang.
Susulan kes bunuh di Ampang
 
AMPANG: Polis menemui kepala seorang wanita ketika melakukan pemeriksaan lanjut petang semalam susulan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah kediaman di tingkat lima, Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini, kelmarin.
Kepala wanita berambut kerinting dan berkulit sawo matang itu ditemui disembunyikan dalam sarung bantal di sebuah bilik kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata polis kemudian menghantar kepala wanita terbabit ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati dua tubuh manusia ditemui di kediaman itu iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia antara lima atau enam tahun dan seorang wanita berusia lewat 20an.
“Kaki kiri yang ditemui di dalam bilik air kediaman berkenaan adalah milik kanak-kanak terbabit yang mana bahagian badannya masih lengkap manakala anggota badan manusia yang dikerat beberapa bahagia itu pula milik wanita berkenaan.
“Badan kanak-kanak terbabit kemudian dibungkus di dalam plastik bersama beberapa bahagian tubuh wanita yang dikerat itu sebelum disembunyikan di atas siling,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti identiti sebenar kedua-dua mangsa selain meneliti laporan orang hilang.
Semalam akhbar ini melaporkan tanda tanya bau busuk yang dihidu penduduk Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, di sini, sejak Sabtu lalu terjawab selepas penemuan beberapa anggota badan manusia yang dikerat lebih 15 bahagian, petang kelmarin.
Penemuan mayat oleh penduduk terbabit yang memeriksa sebuah kediaman di blok berkenaan yang tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu itu selepas tidak tahan dengan bau busuk.
Hasil pemeriksaan itu penduduk menemui kaki kiri manusia selain beberapa organ manusia seperti usus dan perut di dalam mangkuk tandas di tempat sama kaki ditemui sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. 

Berita 4:

Cekik, balut, seret mayat wanita




ORANG RAMAI mengusung jenazah Rohani yang mati disyaki dibunuh tiga lelaki dalam kejadian di tingkat dua Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun, Ipoh semalam.

IPOH - Kebimbangan seorang Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengenai rumahnya yang dipecah masuk hingga mengakibatkannya kerugian RM15,000 sampai ke kemuncaknya apabila dia ditemui mati dicekik semalam.

Mayat Dr. Rohani Kasim, 38, yang masih bujang ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan oleh tiga lelaki dipercayai jirannya di atas tangga di tingkat dua Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun dekat sini.

Difahamkan, tiga penjenayah terbabit bertindak meninggalkan mayat anak ketujuh daripada 10 beradik itu di situ pada pukul 3 pagi selepas terserempak dengan beberapa penghuni ketika mereka disyaki hendak mengangkat mayat tersebut untuk dilupuskan.

Mangsa sebelum ini menjawat jawatan Pendaftar Kolej Pertanian Malaysia, Sintok, Kedah. Dia kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang dan berpindah ke situ bulan lalu.

Kakak mangsa, Ruzaina, 41, memberitahu, sebelum kejadian, adiknya ada mengadu yang dia bimbang mengenai keselamatan dirinya yang tinggal bersendirian di rumah baharu tersebut berikutan premis itu telah dipecah masuk kira-kira seminggu sebelum Ramadan.

"Ketika kami bertemu di kampung di Parit Haji Ali, Bagan Serai Isnin lalu, dia mengadu kerugian RM15,000 apabila barang kemasnya telah dilarikan penjenayah.

"Selain itu, dia juga tertekan berikutan pejabatnya diserbu ramai penternak lembu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengharamkan penyembelihan lembu betina baru-baru ini," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, tukang kebun apartmen tersebut, Mohd. Faisal Mat Ghani, 28, berkata, dia bergegas ke blok tersebut sebaik terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi riuh-rendah.